Faedah Liberalisasi Insurans Untuk Pelanggan

Read English version

Insurans motor merupakan suatu perlindungan wajib di bawah undang-undang, yang diperuntukkan untuk memperbaharui cukai jalan kenderaan. Namun begitu, insurans motor bukan semata-mata untuk memperbaharui cukai jalan sahaja, ianya juga memberikan anda pampasan sekiranya anda terlibat dalam kamalangan jalan raya. Di samping itu, ianya juga membayar pampasan kepada tuntutan daripada pihak ketiga seandainya pihak ketiga tersebut mengalami kecederaan badan atau kerosakan harta benda yang berpunca daripada anda.

Insurans motor tertakluk kepada suatu tarif, di mana premiumnya adalah tetap dan tidak boleh diubah oleh penanggung insurans. Tarif motor ini dikawal selia oleh Bank Negara, selaku pengawal selia industri insurans.

Pada fasa pertama liberalisasi tarif motor bermula 1 Julai 2017, penanggung insurans telah diberikan sedikit kebebasan untuk menetapkan harga premium mereka. Fasa liberalisasi ini melibatkan insurans motor kelas Komprehensif dan Pihak Ketiga bagi Kebakaran dan Kecurian. Premium akan dikenakan ke atas kelas-kelas tersebut berdasarkan profil risiko pemilik kenderaan atau kenderaan itu sendiri. Ini akan menghasilkan suatu pasaran terbuka dengan harga yang kompetitif. Pengguna boleh membuat perbandingan bagi memilih harga terbaik dan berpatutan berdasarkan keperluan insurans peribadi.

Walaubagaimanapun, perlu diingatkan bahawa premium yang rendah tidak bermaksud penyelesaian yang terbaik. Pengguna perlu meneliti perlindungan yang diberikan pada harga tersebut supaya memenuhi perlindungan yang diperlukan untuk risiko mereka. Justeru itu, ianya adalah di bawah kuasa dan budi bicara pengguna untuk membuat pilihan dan menentukan perlindungan yang dikehendaki. Penanggung insurans pula akan dibenarkan untuk menawarkan produk tambahan yang disertakan bersama polisi Motor bagi membolehkan pengguna membuat pilihan daripada senarai produk baru.

Dalam persekitaran yang dikawal selia oleh tarif, jika anda seorang pemandu yang berhati-hati, anda mungkin telah membayar premium yang lebih tinggi berbanding profil risiko anda. Dengan liberalisasi, dan berdasarkan kepada penilaian penanggung insurans anda, jika profil risiko anda adalah baik, anda akan menikmati premium yang lebih rendah. Ini merupakan penentuan harga premium yang lebih adil dan memanfaatkan pengguna.