08 October 2025|Berita Harian

PETALING JAYA: Peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) di Malaysia dijangka membawa cabaran besar kepada industri insurans am, terutamanya dari segi kos pembaikan, risiko tuntutan dan keperluan membangunkan ekosistem pembaikan yang lebih selamat dan bersistematik.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon, berkata model perniagaan insurans bagi EV masih baharu di pasaran tempatan dan berbeza sama sekali berbanding kenderaan konvensional.

Beliau berkata, pihaknya telah menjalankan kajian terhadap pasaran luar seperti China dan beberapa negara lain yang lebih lama memperkenalkan penggunaan EV.

Hasil kajian itu, menurutnya menunjukkan pengalaman kerugian bagi EV amat berbeza berbanding kenderaan biasa.

"EV beroperasi dengan cara yang sangat berbeza. Kami mendapati pengalaman kerugian kenderaan ini juga berbeza apabila kereta semakin berusia, tabiat pemanduan berubah, kadar susut nilai lebih cepat, dan pembaikan menjadi lebih rumit," jelasnya.

Beliau turut menambah bahawa tahap keterukan (severity) kerosakan bagi EV adalah lebih tinggi.

Dalam banyak kes, jika kemalangan berlaku pada bahagian sensitif atau melibatkan sistem bateri, kenderaan tersebut mungkin tidak boleh dibaiki langsung.

Bagi menangani isu itu, Kim Soon menjelaskan industri kini bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membangunkan rangkaian bengkel khas yang mampu mengendalikan pembaikan EV dengan selamat.

"Kami sedang membina keseluruhan ekosistem pembaikan bateri di Malaysia. Buat masa ini ia masih dalam proses kerana pembaikan EV memerlukan jurutera elektrik bertauliah dan bukan mekanik biasa kerana jika dilakukan secara salah, ia boleh mendatangkan bahaya," katanya.

Tambahnya, walaupun kadar insurans bagi EV di Malaysia masih belum melonjak, pengalaman di pasaran luar menunjukkan kos insurans EV jauh lebih tinggi berbanding kenderaan biasa.

"Pasaran kita masih dalam fasa separuh liberalisasi, jadi kadar premium masih terkawal. Tetapi di negara-negara lain, kos menginsuranskan EV memang jauh lebih tinggi," kata Kim Soon.

Justeru, langkah-langkah sedang diambil oleh PIAM dan syarikat insurans untuk memahami risiko sebenar kenderaan EV serta menyesuaikan produk insurans agar lebih seimbang antara perlindungan, keselamatan dan kos kepada pengguna.

Berita Harian Article