Kemalangan, kebakaran pacu pertumbuhan industri insurans am Malaysia
PETALING JAYA: Industri insurans am Malaysia terus menunjukkan ketahanan apabila mencatatkan Premium Bertulis Kasar (GWP) sebanyak RM12.3 bilion bagi separuh pertama tahun 2025, meningkat empat peratus berbanding RM11.8 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon, berkata pertumbuhan ini disokong oleh prestasi operasi yang lebih kukuh dan kecekapan sektor yang bertambah baik.
Beliau berkata, keuntungan pengunderaitan juga meningkat kepada RM629 juta, naik RM153 juta berbanding tahun sebelumnya.
"Segmen insurans motor kekal menjadi penyumbang terbesar dengan 42.8 peratus daripada jumlah keseluruhan premium, bersamaan RM5.3 bilion. Namun, segmen ini masih mencatatkan kerugian pengunderaitan dengan nisbah gabungan 102.2 peratus, meskipun menunjukkan sedikit penambahbaikan berbanding tahun lalu.
"Antara faktor utama termasuk peningkatan kadar kemalangan dan inflasi harga alat ganti kenderaan yang melonjak pada kadar tahunan 10 peratus sejak 2021," katanya.
Nisbah gabungan segmen ini juga kekal sihat pada 67.3 peratus dengan margin pengunderaitan berjumlah RM363 juta, disokong oleh permintaan tinggi terhadap perlindungan hartanah dan pembangunan infrastruktur.
Kim Soon menjelaskan, segmen kemalangan diri (PA) turut mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 11.2 peratus, dengan jumlah GWP mencecah RM800 juta, dipacu oleh peningkatan permintaan terhadap insurans perjalanan.
"Walaupun segmen Insurans Semua Risiko Kontraktor dan Kejuruteraan (CARE) menurun 13.1 peratus kepada RM0.6 bilion berbanding RM700 juta sebelumnya, ia kekal mencatat keuntungan pengunderaitan berjumlah RM58 juta berikutan pengurangan kadar tuntutan.
"Segmen Marin, Penerbangan dan Transit (MAT) pula menurun 8.6 peratus kepada RM1.15 bilion, tetapi mengekalkan nisbah gabungan sihat pada 63.2 peratus dengan keuntungan pengunderaitan sebanyak RM76.9 juta," katanya.
Secara keseluruhan, industri menunjukkan peningkatan kecekapan dengan nisbah gabungan keseluruhan bertambah baik kepada 92.1 peratus, berbanding 93.7 peratus pada separuh pertama 2024 sekali gus mencerminkan disiplin pengunderaitan serta kawalan kos yang lebih baik di peringkat industri.
Tambah Kim Soon, industri insurans am Malaysia kini beroperasi dalam persekitaran mencabar yang dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik, perubahan iklim serta tekanan ekonomi global, dengan faktor utama yang memberi kesan termasuk tarif AS sehingga 19 peratus, kejadian cuaca ekstrem, inflasi yang menekan kos alat ganti, peningkatan tuntutan kecederaan badan serta perubahan permintaan pengguna terhadap perlindungan yang lebih cepat dan mudah diakses.
Selain itu, peralihan teknologi turut membawa cabaran baharu seperti ancaman keselamatan siber dan risiko pelaksanaan projek berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Dalam menghadapi cabaran global ini, industri komited memastikan perlindungan pengguna serta mengekalkan daya tahan sektor kewangan negara.
Berita Harian Article