08 October 2025|Dagang News

KUALA LUMPUR 8 Okt – Industri insurans am Malaysia mencatat peningkatan 32% tahun ke tahun dalam keuntungan penajajaminan bagi separuh pertama tahun ini, didorong oleh pertumbuhan premium yang kukuh serta disiplin taja jamin yang lebih baik.

Menurut Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), jumlah keuntungan taja jamin industri bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini melonjak kepada RM629 juta, berbanding RM476 juta pada separuh pertama tahun sebelumnya, hasil daripada kecekapan kos dan pengurusan taja jamin yang bertambah baik.

Dalam tempoh sama, industri ini turut mencatat peningkatan 4% tahun ke tahun dalam jumlah premium ditulis kasar kepada RM12.3 bilion, menurut kenyataan PIAM.

Namun begitu, PIAM menegaskan industri insurans masih berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan geopolitik dan tarif Amerika Syarikat, selain risiko berkaitan perubahan iklim, peralihan teknologi seperti peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV), serta tekanan inflasi.

Segmen insurans motor kekal sebagai segmen terbesar dalam insurans am dengan bahagian pasaran 42.8%, diikuti insurans kebakaran (21.1%) dan insurans kemalangan diri (6.4%).

Insurans motor menyumbang RM5.3 bilion dalam premium, meningkat 5.7% tahun ke tahun. Namun, segmen ini mencatat kerugian taja jamin dengan nisbah gabungan 102.2%, disebabkan oleh peningkatan kekerapan tuntutan dan kos alat ganti yang lebih tinggi.

Ini bermaksud bagi setiap RM1 premium yang diterima, sebanyak RM1.022 dibelanjakan untuk membayar tuntutan dan menampung perbelanjaan operasi.

Nisbah gabungan ialah ukuran keuntungan dalam industri insurans di mana kadar melebihi 100% menunjukkan bahawa syarikat atau segmen tersebut membelanjakan lebih banyak untuk tuntutan dan perbelanjaan pentadbiran berbanding jumlah premium yang diterima.

Segmen insurans kebakaran, yang mencatat pertumbuhan premium 10.4% kepada RM2.6 bilion disokong oleh permintaan terhadap perlindungan harta dan komersial, merekodkan margin taja jamin RM363 juta dengan nisbah gabungan 67.3%.

Insurans kemalangan diri pula meningkat 11.2% kepada RM800 juta dalam premium ditulis kasar, didorong oleh polisi berkaitan perjalanan.

Bagi segmen insurans semua risiko kontraktor dan kejuruteraan — yang meliputi perlindungan bagi projek pembinaan, pemasangan dan operasi industri — premium ditulis kasar merosot 13.1% kepada RM600 juta. Walaupun begitu, segmen ini kekal mencatat keuntungan penajajaminan sebanyak RM58 juta.

Sementara itu, insurans marin, penerbangan dan transit turut mencatat penurunan premium sebanyak 8.6% kepada RM1.15 bilion, namun mengekalkan nisbah gabungan 63.2%.

PIAM menegaskan, syarikat insurans akan terus memberi tumpuan kepada penaja jaminan yang mampan dan kecekapan operasi, di samping membangunkan produk berkaitan perlindungan EV, risiko iklim dan pengedaran digital.

 

Dagang News Article