04 December 2025|Carz Automedia

Ada rancangan untuk ke Thailand? Anda dinasihatkan untuk menyemak semula polisi insurans kenderaan agar tidak menyesal di kemudian hari. Ini susulan kejadian banjir kilat yang melanda di Hat Yai baru-baru ini yang memperlihatkan banyak kenderaan rakyat Malaysia rosak teruk. 
 
Menurut Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), kebanyakan pelan komprehensif biasa tidak menawarkan perlindungan secara automatik sebaik sahaja kenderaan memasuki sempadan Thailand.
 
Bagaimana Cara Untuk Mendapat Perlindungan Insurans Semasa Di Thailand?
 
Untuk kekal dilindungi semasa berada di negara gajah putih, pemegang polisi boleh memohon dua jenis Endorsemen (tambahan perlindungan) penting iaitu:
 
Endorsemen 101 (Perlindungan Luar Negara): Ini membolehkan perlindungan insurans anda dilanjutkan ke Thailand untuk perjalanan singkat, biasanya sehingga sebulan. Ia meliputi kerosakan kenderaan dan kerugian harta benda pihak ketiga sehingga RM100,000.
Endorsemen 57 (Perlindungan Bencana Alam): Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Chua Kim Soon, menggesa pemandu mempertimbangkan risiko banjir dan menambah Endorsmen 57. Ini memberikan perlindungan tambahan untuk bencana alam, seperti kejadian banjir kilat mengejut yang berlaku di Hat Yai.
Kedua-dua endorsemen ini tidak memakan kos yang tinggi, iaitu sekitar 0.2% daripada nilai diinsuranskan dan boleh diuruskan melalui ejen atau penyedia insurans.
 
Chua Kim Soon turut mengingatkan orang ramai bahawa Thailand mewajibkan pembelian Compulsory Motor Insurance (CMI) untuk semua kenderaan asing.
 
CMI boleh dibeli daripada syarikat insurans Thai sama ada di sempadan atau secara dalam talian melalui platform serantau sebelum memasuki negara tersebut.
 
Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Kereta Terperangkap dalam Banjir di Thailand?
 
Ramai rakyat Malaysia yang terjejas oleh banjir di Hat Yai kini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan semula kereta mereka, kerana kenderaan yang rosak di luar negara tanpa perlindungan yang betul kebiasaannya tidak layak untuk menuntut ganti rugi. Pemilik mungkin terpaksa menanggung kos yang besar untuk pengangkutan dan pembaikan sendiri.
 
Bagi mana-mana individu yang keretanya terperangkap dalam banjir, nasihat utama adalah JANGAN sesekali menghidupkan enjin semula. Sebaliknya:
 
Dokumentasikan keadaan kenderaan dengan foto atau video.
Hubungi syarikat insurans atau aplikasi Digital Roadside Assistance (DRA) untuk mendapatkan bantuan tundaan.
Laporan polis di Thailand mungkin diperlukan untuk menyokong tuntutan, kecuali jika pihak insurans melonggarkan keperluan tersebut disebabkan bencana besar. Pemandu juga perlu mengemukakan dokumen insurans, maklumat cukai jalan dan borang kastam yang diperlukan. Kemajuan tuntutan boleh dipantau melalui aplikasi DRA.
 
Untuk membantu mangsa, syarikat insurans Malaysia sedang bekerjasama dengan bengkel dan khidmat tunda di Thailand, termasuk pihak berkuasa. Kejadian banjir besar selepas hujan lebat di wilayah Songkhla itu menyaksikan lebih 500 kereta Malaysia dilaporkan tersadai dan mengalami kerosakan.

Carz Automedia Article