08 October 2025|Press Release

Kuala Lumpur, 8 Oktober 2025 – Industri insurans am Malaysia mencatatkan Premium Bertulis Kasar (GWP) sebanyak RM12.3 bilion bagi separuh pertama tahun 2025 (1H2025), meningkat 4.0% berbanding RM11.8 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu (1H2024). Pertumbuhan ini disokong oleh prestasi operasi yang diperkukuh dan kecekapan sektor yang bertambah baik, dengan keuntungan pengunderaitan meningkat RM153 juta kepada RM629 juta.

Insurans motor kekal sebagai segmen perniagaan terbesar industri, merangkumi 42.8% daripada jumlah GWP. Namun demikian, segmen ini terus mencatat kerugian pengunderaitan, dengan Nisbah Gabungan (Combined Ratio) sebanyak 102.2%, didorong oleh kadar tuntutan yang tinggi dan peningkatan kekerapan tuntutan.

Sebaliknya, segmen bukan motor, terutamanya insurans kebakaran, kemalangan diri (PA) dan Marin, Penerbangan & Transit (MAT), menyumbang secara positif kepada keputusan pengunderaitan keseluruhan. Insurans kebakaran mencatatkan Nisbah Gabungan sebanyak 67.3%, manakala segmen MAT dan Insurans Semua Risiko Kontraktor dan Kejuruteraan (CARE) turut mengekalkan prestasi keuntungan.

Segmen Motor dan Kebakaran Terus Menyokong Prestasi Industri

Gabungan prestasi insurans motor, kebakaran dan PA telah menyumbang kepada pertumbuhan 5.6% dalam GWP industri insurans am bagi 1H2025:

  • Insurans motor kekal sebagai segmen terbesar, menyumbang RM5.3 bilion atau 42.8% daripada portfolio. Namun pertumbuhannya menurun kepada 5.7% berbanding 8% pada separuh pertama 2024 (1H2024).
  • Insurans kebakaran mencatatkan prestasi kukuh dan merupakan segmen kedua terbesar, menyumbang RM2.6 bilion atau 21.1% daripada portfolio, dengan kadar pertumbuhan sekitar 10.4% sejak suku keempat 2024.
  • PA, salah satu segmen yang terus berkembang, mencapai RM0.8 bilion dalam 1H2025 dengan kadar pertumbuhan sebanyak 11.2%. Segmen ini mewakili 6.4% daripada keseluruhan portfolio.

Insurans Motor

Insurans motor terus mencatat kerugian pengunderaitan dengan Nisbah Gabungan sebanyak 102.2%, namun mencatat penurunan 1.2 mata peratusan berbanding 1H2024. Ini disumbang oleh sedikit penambahbaikan dalam nisbah tuntutan bagi segmen motosikal dan kenderaan komersial. Ini menekankan keperluan berterusan untuk pengunderaitan yang berdisiplin dan pengurusan tuntutan yang cekap yang didorong oleh cabaran berterusan yang dihadapi oleh sektor secara keseluruhan, termasuk:

  • Kekerapan Tuntutan Meningkat: Kadar kemalangan jalan raya terus meningkat kepada 115 kes bagi setiap 100,000 penduduk sejak 2022.
  • Inflasi Alat Ganti: Harga purata alat ganti meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 10% sejak 2021, dipacu oleh kebergantungan kepada komponen import bagi model kenderaan baharu.

Carta Trend Premium Motor Insurans Am

Carta Trend Nisbah Gabungan Insurans Am Motor

Insurans Kebakaran

Insurans kebakaran mencatatkan pertumbuhan 10.4% meningkat daripada RM2.3 bilion kepada RM2.6 bilion dalam jumlah GWP, disokong oleh pertumbuhan hartanah komersial berasaskan infrastruktur dan permintaan berterusan terhadap perlindungan hartanah. Segmen ini mencatatkan Nisbah Gabungan sebanyak 67.3% dan margin pengunderaitan berjumlah RM363 juta.

Carta Trend Nisbah Gabungan Insurans Kebakaran GI

Insurans Kemalangan Diri (PA)

Insurans kemalangan diri mencatatkan pertumbuhan 11.2%, jumlah GWP meningkat kepada RM0.8 bilion daripada RM0.7 bilion dalam 1H2024. Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh peningkatan permintaan terhadap insurans perjalanan.

Segmen Utama Lain: CARE dan MAT

Segmen Insurans Semua Risiko Kontraktor dan Kejuruteraan (CARE) menyusut sebanyak 13.1%, daripada RM0.7 bilion kepada RM0.6 bilion. Meskipun terdapat penyusutan GWP, segmen ini mencatat keuntungan pengunderaitan sebanyak RM58 juta, didorong oleh penurunan ketara dalam Nisbah Tuntutan Bersih Ditanggung (NCIR) kepada 41.3% berbanding 71.7% dalam 1H2024, berkemungkinan mencerminkan pengurangan projek berskala besar.

Carta Trend Nisbah Gabungan Insurans CARE GI

Insurans Marin, Penerbangan dan Transit (MAT) menurun 8.6%, daripada RM1.25 bilion kepada RM1.15 bilion. Walaupun begitu, Nisbah Gabungan kekal sihat pada 63.2% dengan keuntungan pengunderaitan RM76.9 juta, di mana segmen Kargo dan Kapal Marin (Marine Hull) menyumbang 77.5%.

Carta Trend GWP Insurans MAT GI Mengikut Kelas

Tinjauan Prestasi

Industri insurans am mencatat penambahbaikan dalam Nisbah Gabungan, sebanyak 1.6 mata kepada 92.1% dalam 1H2025 berbanding 93.7% pada 1H2024. Peningkatan ini menunjukkan kecekapan kos yang lebih baik serta disiplin teknikal dan fokus yang kukuh merentasi segmen utama. NCIR juga turut mencatat sedikit penambahbaikan sebanyak -1.2 mata kepada 57.4% berbanding 58.6% pada 1H2024.

Carta Nisbah Gabungan Keseluruhan

Penanggung insurans akan terus memberi tumpuan kepada pengunderaitan mampan, kecekapan operasi dan inovasi dalam penawaran produk – khususnya perlindungan kenderaan elektrik (EV), penyelesaian risiko iklim, dan saluran pengedaran digital, bagi memperkukuh daya tahan dan daya saing jangka panjang.

Mengharungi Cabaran Semasa

Industri terus beroperasi dalam landskap mencabar yang dipengaruhi oleh:

  • Ketidaktentuan geopolitik dan impak perdagangan (contohnya tarif AS hingga 19%);
  • Risiko perubahan iklim dan kejadian cuaca ekstrem yang semakin meningkat;
  • Peralihan teknologi, termasuk ancaman keselamatan siber, risiko teknologi baharu dan risiko pelaksanaan projek AI;
  • Perubahan permintaan pengguna, jurang pemahaman dalam perlindungan kewangan dan jangkaan yang semakin tinggi terhadap perlindungan yang lebih pantas dan mudah diakses;
  • Tekanan ekonomi akibat nisbah tuntutan tinggi, inflasi, peningkatan tuntutan kecederaan badan, dan kenaikan kos alat ganti.

Situasi ini menekankan keperluan industri untuk kekal tangkas dan komited dalam misi dwifungsi: menyediakan ekosistem insurans yang cekap dan berdaya tahan sambil melindungi pengguna Malaysia.

Memperkukuh Peranan Industri

Industri mempergiat usaha strategik dalam beberapa bidang utama:

  • Memperkukuh Inklusi Kewangan & Literasi Pengguna
    • Program Pendidikan Pengguna untuk memperkasa pengetahuan dan kesedaran mengenai perlindungan kewangan.
    • Sokongan kepada segmen berpendapatan rendah melalui penyertaan aktif dalam program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) bersama rakan kerjasama kerajaan.
  • Pembangunan Bakat & Inovasi
    • Inisiatif latihan industri melalui General Insurance Internship for Talent (GIIFT) – program latihan kerja selama 12 minggu yang diterajui industri.
  • Keselamatan Jalan Raya
    Kerjasama dengan pihak berkuasa penguatkuasa bagi mempertingkat keselamatan jalan raya:
    • Projek perintis e-Police Reporting di Lebuhraya PLUS untuk laporan kemalangan kecil. Sejak dilancarkan pada 1 September 2025, sebanyak 114 laporan telah diterima secara dalam talian sehingga 3 Oktober 2025.
    • Kajian dan libat urus strategik untuk memperkukuh kesiapsiagaan dan membangunkan strategi di dalam usaha mengurangkan risiko jalan raya.
    • Pemerkasaan pengetahuan EV dalam kalangan industri untuk risiko berkaitan kenderaan elektrik (EV) bagi menyokong pertumbuhan segmen ini dengan lebih selamat dan kesiapsigaan menghadapi risiko baharu.
  • Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya PIAM

    • PIAM akan melancarkan program pendidikan keselamatan jalan raya secara percuma bertajuk “Langkah Bijak, Jalan Selamat” bermula 2 November 2025, menyasarkan murid sekolah berumur 10 hingga 11 tahun di kawasan berisiko tinggi seperti Brickfields, Kuala Lumpur. Program ini memberi penekanan kepada tingkah laku melintas jalan yang selamat apabila kanak-kanak mula bergerak secara berdikari. Sekolah yang berminat boleh menghubungi: corpcomms@piam.org.my Tarikh tutup pendaftaran: 24 Oktober 2025.