21 October 2026|Press Release

KUALA LUMPUR, 21 OKTOBER 2026 – Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) bagi memperkukuh inisiatif keselamatan jalan raya melalui penyelidikan berasaskan data, kerjasama teknikal dan perkongsian pengetahuan. Majlis berlangsung bersempena Transport Expo Asia (TXA) 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pengarah MIROS, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Siti Zaharah Ishak, dan Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Chua Kim Soon. Majlis disaksikan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Loke Siew Fook, Pengerusi Lembaga Pengarah MIROS, Profesor Dr. Wong Shaw Voon serta Pengerusi PIAM, Ng Kok Kheng.

Kerjasama ini menghubungkan kepakaran penyelidikan MIROS dengan pengetahuan dan pengalaman industri insurans am bagi menyokong langkah pencegahan nahas yang lebih bersasar. Tumpuan diberikan kepada pemahaman risiko berasaskan bukti untuk merancang intervensi yang dapat meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Ketua Pengarah MIROS, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Siti Zaharah Ishak, berkata, “Kerjasama ini membuka ruang untuk MIROS dan industri insurans memahami risiko keselamatan jalan raya dengan lebih mendalam. Melalui penyelidikan dan analisis data yang bersesuaian, kita dapat mengenal pasti keutamaan intervensi serta menilai keberkesanannya. Matlamatnya ialah memastikan dapatan penyelidikan diterjemahkan kepada tindakan yang membantu mencegah nahas dan mengurangkan kecederaan.”

MoU ini merangkumi tiga bidang utama, iaitu penyelidikan dan analisis data; teknologi serta program penarafan keselamatan; dan advokasi, pendidikan serta pembangunan kapasiti.

Dalam bidang penyelidikan, kedua-dua pihak akan meneroka kerjasama dalam analisis data dan kajian keselamatan jalan raya bagi memahami risiko serta menyokong perancangan intervensi yang lebih berkesan. Kerjasama ini turut meliputi usaha menggalakkan penggunaan teknologi, kaedah penilaian dan program penarafan keselamatan jalan raya, sekali gus memperkukuh penglibatan industri dalam pelaksanaan inisiatif keselamatan berasaskan bukti.

Pengerusi PIAM, Ng Kok Kheng, berkata, “Selama beberapa dekad, syarikat insurans am telah berada di barisan hadapan dalam mengendalikan tuntutan kemalangan dan membantu pemegang polisi kami menghadapi kesan susulan nahas jalan raya. Selain sokongan tuntutan dan pendidikan pengguna, PIAM kini mengambil langkah tegas seterusnya ke arah mitigasi risiko yang menyeluruh dan proaktif. Memperkukuh kerjasama kami yang telah lama terjalin dengan MIROS memperkasakan industri insurans am untuk menyumbang secara langsung kepada matlamat keselamatan negara melalui cerapan berasaskan bukti, advokasi strategik dan penerapan teknologi moden.”

Melalui kerjasama ini, MIROS dan PIAM berhasrat memperluas penggunaan dapatan penyelidikan dalam pelaksanaan intervensi keselamatan jalan raya, seterusnya menyumbang kepada pengurangan kematian serta kecederaan akibat nahas demi kesejahteraan rakyat.